Bapa kepada murid lelaki Tahun Empat yang ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan pada 1 Oktober lalu mendedahkan bahawa arwah anaknya pernah menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Bapa Dedah Anak Pernah Terima Ugutan Mati Sebelum Ditemui Meninggal Dunia di Sekolah

Menurut Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, anaknya, Iman Zhafran, 10, sempat memberitahu kakaknya mengenai ugutan berkenaan memandangkan mereka berdua tidur di bilik yang sama pada malam kejadian. Bagaimanapun, katanya, perkara itu hanya diketahui selepas polis mengambil keterangan daripada keluarga sehari selepas insiden.

“Malam sebelum kejadian, Iman mengadu kepada kakaknya bahawa ada murid yang ugut mahu tengok dia mati keesokan harinya. Tapi kakak tak sempat maklumkan kepada kami sebab waktu itu kami dah tidur,” katanya pada sidang media di pejabat peguam bela dan peguam cara Yazid Tishondra di Solaris Mont Kiara, pada Isnin.

Terdahulu, Iman Zhafran dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada bahagian leher, manakala tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa.

Muhammad Hafizuddin turut memaklumkan bahawa pihak polis menemui satu nota bertulis tangan dalam buku milik arwah yang dipercayai mengandungi mesej berbaur ugutan.

“Dalam buku arwah, ada tulisan berbunyi ‘saya nak awak mati… saya tak tahu awak akan masuk syurga atau neraka’. Itu yang polis tunjukkan kepada kami,” katanya.

Susulan itu, beliau menuntut agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti sama ada ugutan yang diterima anaknya mempunyai kaitan dengan kematiannya.

“Kami mahukan keadilan. Kalau benar ada unsur buli atau ugutan, siasat sampai habis. Anak saya tak sepatutnya pergi dengan cara begini,” katanya sebak.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]