Keluarga diraja Brunei Darussalam menyambut khabar gembira apabila Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen dan isteri, Yang Amat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, selamat dikurniakan cahaya mata sulung iaitu seorang puteri pada jam 8.50 pagi, semalam.

17 Das Tembakan Meriam Sambut Kelahiran Puteri Diraja Brunei

Kelahiran cucunda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, diraikan dengan penuh istiadat diraja. Memetik laporan Media Permata, sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman sebagai simbol kesyukuran serta meraikan detik bersejarah tersebut.

Dalam satu kenyataan rasmi, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan memaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam telah selamat melahirkan seorang puteri pada Ahad, 20 Syaaban 1447 Hijrah, bersamaan 8 Februari 2026, dengan izin Allah SWT. Seiring dengan kelahiran tersebut, istiadat pelepasan tembakan meriam turut dilaksanakan mengikut adat diraja Brunei.

Sebelum ini, Pengiran Muda Abdul Mateen pernah bertitah mengumumkan kehamilan anakanda sulung mereka pada Oktober tahun lalu, sekali gus menerima perhatian serta kegembiraan rakyat Brunei dan para peminat keluarga diraja. Berita kelahiran puteri sulung itu turut mengundang ucapan tahniah yang membanjiri ruangan komen di media sosial daripada warganet.

Untuk rekod, Pengiran Muda Abdul Mateen dan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam yang merupakan rakan sejak kecil telah selamat melangsungkan perkahwinan pada 11 Januari 2024.

Kredit: Media Permata

[fbcomments]