Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun berdepan detik getir apabila kehidupannya berubah secara drastik selepas dipatuk seekor anak ular tedung (cobra) ketika sedang tidur di rumah pada 12 Mei lalu, sebelum melalui siri komplikasi kesihatan yang panjang dan mencabar.

Kanak-Kanak Dipatuk Ular Tedung Ketika Tidur, Lalui Detik Kritikal Di Hospital

Menurut perkongsian kronologi yang dimuat naik oleh ibu saudaranya, Ellyza Halim, kejadian berlaku ketika mangsa, Ridzwan, sedang tidur sebelum terjaga dan mengadu sakit pada bahagian muka yang ketika itu mula membengkak. Keadaan itu turut disertai muntah, menyebabkan bapanya segera membawanya ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sejurus tiba di hospital, Ridzwan diberikan rawatan awal serta suntikan bagi mengawal kesan bisa ular daripada merebak, sebelum dia dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Pada 14 Mei, pihak hospital memaklumkan keadaan racun dalam badan kanak-kanak itu semakin terkawal dan dia kemudiannya dipindahkan ke wad separa kritikal.

Namun, keadaan berubah apabila pada malam hari yang sama, Ridzwan mengalami komplikasi selepas dipercayai tersedak susu yang diberikan melalui tiub. Dia kemudian mengalami keadaan kritikal sehingga doktor dan jururawat terpaksa melakukan bantuan CPR, dan hasil pemeriksaan MRI mendapati terdapat susu dalam paru-paru serta otaknya.

Dalam insiden itu, jantung kanak-kanak berkenaan dilaporkan berhenti selama kira-kira 15 minit sebelum berjaya diselamatkan. Selepas kejadian tersebut, pihak hospital menidurkan pesakit serta memasang bantuan pernafasan bagi memberi ruang kepada otaknya untuk pulih.

Sepanjang tempoh rawatan, Ridzwan melalui pelbagai fasa kritikal termasuk bengkak otak ringan yang dikesan melalui imbasan CT, serta keadaan paru-paru yang masih terjejas akibat komplikasi sebelum ini. Pada masa sama, kesan bisa ular dalam darahnya dilaporkan semakin berkurangan, namun tahap kesihatannya masih tidak stabil.

Pada 17 Mei, keadaan kanak-kanak itu kembali mencemaskan apabila mengalami kekejangan, selain darah dilaporkan keluar melalui tiub pernafasan sebelum dia dipindahkan ke bilik isolasi khas untuk pemantauan rapi. Sepanjang tempoh itu juga, beliau turut menjalani proses latihan pernafasan secara berperingkat di bawah pengawasan hospital.

Dalam perkembangan seterusnya, Ridzwan turut berdepan masalah lain termasuk bengkak pada mata serta kesan radang yang dipercayai berpunca daripada reaksi terhadap bisa ular. Pada 18 Mei, dia sekali lagi mengalami komplikasi apabila mengalami sawan kuat sehingga memerlukan pemantauan intensif di unit khas.

Walaupun menunjukkan sedikit perkembangan pada beberapa peringkat, keadaan kanak-kanak itu masih memerlukan rawatan berterusan. Pada awal Jun, keluarga memaklumkan bahawa Ridzwan masih belum mengenali bapanya, selain kerap mengalami sawan dan hanya mampu mengerang menahan kesakitan.

Situasi bertambah rumit apabila pada 12 Jun, kesan melecur dikesan pada wajahnya sebelum doktor memaklumkan bahawa kanak-kanak itu mengalami alahan terhadap ubat sawan. Keadaan itu kemudian merebak ke bahagian leher dan bahu, menyebabkan dia dipindahkan ke bilik isolasi khas untuk rawatan lebih rapi.

Dalam perkongsian sama, ibu saudara mangsa turut berkongsi pandangan bahawa sepanjang berada di hospital, pasukan perubatan telah memberikan rawatan sepenuhnya dan berusaha sebaik mungkin dalam merawat pesakit. Beliau juga mengakui keadaan emosi keluarga yang sangat terkesan sepanjang tempoh kritikal tersebut.

Katanya, salah faham kadangkala boleh berlaku apabila keluarga berada dalam keadaan tertekan, namun usaha pihak hospital dalam merawat pesakit wajar difahami dalam konteks perubatan yang kompleks.

Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan terhadap pihak hospital, sebaliknya memberi ruang dan doa agar kanak-kanak tersebut terus diberikan kesembuhan serta kekuatan kepada keluarga yang sedang diuji.

Kredit: Mingguan Wanita

[fbcomments]