Baru-baru ini tular sebuah kejadian membabitkan seorang wanita mengandung yang didakwa dituduh mencuri di sebuah pasar raya Lotus’s di Selayang, Selangor sehingga mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Susulan kejadian itu, Lotus’s Malaysia memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung insiden berkenaan. Pihak pasar raya itu turut mengambil maklum mengenai perkara yang tular dan memandang serius kebimbangan yang disuarakan oleh pelanggan.
![]()
Isteri Hamil 38 Minggu Dipersoal Susulan Tuduhan Curi, Suami Buat Laporan Polis
Menurut Lotus’s Malaysia, pihaknya kesal apabila kejadian tersebut menimbulkan keresahan kepada pelanggan terbabit dan telah menghubungi wanita berkenaan bagi mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai pengalaman yang dilaluinya. Bagaimanapun, sebarang ulasan lanjut tidak dapat diberikan buat masa ini kerana siasatan masih sedang dijalankan.
Sebelum ini, suami wanita terbabit, Fareez, 25, mendakwa isterinya yang berusia 23 tahun dan sedang hamil 38 minggu telah dituduh mencuri barangan yang dikatakan disorok di dalam pakaian.
Menurut Fareez, dia terkejut apabila mendengar pertanyaan yang didakwa ditujukan kepada isterinya berkaitan kemungkinan menyimpan barangan di bahagian perut. Dia kemudian meminta pihak terbabit menunjukkan bukti serta menjelaskan siapa yang melihat isterinya mengambil barangan berkenaan.
![]()
Namun, dakwanya, tiada bukti dikemukakan dan pihak terbabit hanya meminta buku rekod kehamilan atau Buku Pink isterinya sebagai pengesahan bahawa dia benar-benar mengandung. Fareez turut mendakwa isterinya diminta menunjukkan bahagian perut bagi membuktikan dia tidak menyembunyikan sebarang barangan.
Tambahnya, dia kemudian meminta pihak pasar raya mengemukakan bukti sekiranya benar berlaku kecurian, termasuk menghadirkan saksi serta memanggil penyelia bertugas. Bagaimanapun, menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa menunggu hampir 20 minit di hadapan pelanggan lain sementara pihak terbabit cuba menghubungi penyelia.
![]()
Fareez berkata, kejadian itu bukan perkara kecil baginya kerana melibatkan maruah isterinya yang sedang sarat mengandung. Menerusi perkongsian di media sosial, dia memaklumkan telah mengambil langkah pertama bagi mendapatkan keadilan dan percaya setiap tindakan mempunyai akibatnya.
Kredit: Thread fareezshah10