Seorang YouTuber yang juga dikenali sebagai pengkritik sukan bola sepak dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas diserang dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, Sabtu lalu.
![]()
YouTuber Dan Pengkritik Bola Sepak Cedera Parah Diserang Dua Lelaki Di Stesen Minyak
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, mangsa memaklumkan kejadian berlaku pada 11 Julai kira-kira jam 7.24 malam ketika berada di stesen minyak di Sri Damansara.
Menurutnya, serangan tersebut menyebabkan dia mengalami patah tulang pada bahagian soket mata selain beberapa kecederaan lain pada anggota badan.
“Pada 11 Julai jam 7.24 malam, saya telah diserang oleh dua lelaki di stesen minyak di Sri Damansara. Saya mengalami patah tulang mata serta beberapa kecederaan pada badan. Laporan polis telah dibuat dan kes kini sedang dalam siasatan,” katanya.
![]()
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 7.56 malam.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 40-an sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC.
![]()
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian bertindak memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi. Akibat serangan itu, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata serta beberapa kecederaan lain.
Menurut Shamsudin, motif kejadian masih belum dikenal pasti dan polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Kredit: X thejoezakarian