Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas disyaki menghendap dan mengganggu seorang rakan wanita yang juga penuntut di universiti yang sama selama hampir tiga bulan.
![]()
Lelaki Ditahan Disyaki Menghendap Rakan Wanita Selama Tiga Bulan Di Shah Alam
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 22 tahun pada kira-kira jam 3.55 petang, Ahad.
Menurut beliau, mangsa mendakwa lelaki berkenaan mula mengganggu serta mengekorinya sejak April lalu ketika berada di kampus dan juga di kawasan kediamannya. Bertindak atas laporan tersebut, polis berjaya menahan suspek di sekitar Seksyen 7, Shah Alam pada kira-kira jam 8.30 malam hari yang sama.
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan turut didapati negatif daripada penyalahgunaan dadah.
![]()
Sarudin berkata, suspek telah direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang membabitkan kesalahan menghendap atau stalking secara berulang kali. Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sabryna Taha di talian 014-5130450 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, tular di aplikasi Threads satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai mengambil sepasang kasut dari dalam sebuah rumah di sebuah apartmen di Seksyen 7 sebelum menghidunya. Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat polis.
Kredit: Sinar Harian