Baru-baru ini tular di media sosial perkongsian seorang Pegawai Perubatan (MO) yang mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas bertahun-tahun berkhidmat.

MO Tinggalkan KKM Selepas Bertahun Berkhidmat, Mahu Cari Semula Diri Demi Keluarga

Dalam perkongsian itu, beliau meluahkan tentang pelbagai pengorbanan yang dilalui sepanjang bergelar seorang doktor , termasuk menjalani on-call tanpa henti, terlepas janji temu bersama anak, tidak dapat meluangkan masa pada majlis dan acara keluarga, serta kehilangan terlalu banyak momen berharga yang tidak mungkin dapat diulang kembali.

Lebih menyayat hati, beliau turut kehilangan ibunya ketika masih menjalani housemanship (HO).

Menurutnya, waktu bekerja yang panjang dan tuntutan on-call juga membuatkan dia berasa seolah-olah tidak adil kepada pasangan dan anaknya. Mereka berhak menerima lebih daripada sekadar sedikit tenaga yang masih berbaki selepas dia memberikan segala yang termampu kepada pesakit di hospital.

Beliau mengakui setiap hari di hospital, dia cuba memberikan yang terbaik dengan sentiasa bersabar, bersopan dan mengambil berat terhadap pesakit. Namun, apabila pulang ke rumah, dia mula menyedari bahawa insan yang paling menyayanginya pula sering menerima versi dirinya yang paling letih.

Sepanjang bertahun-tahun bersama KKM, beliau berkata dirinya telah memberikan hati, tenaga dan segala yang ada untuk berkhidmat serta menjaga pesakit. Justeru, keputusan untuk meninggalkan kerjaya itu bukan sesuatu yang mudah, malah menyakitkan selepas begitu banyak masa dicurahkan untuk profesion berkenaan.

Namun kali ini, beliau memilih untuk mengutamakan keluarga.

Walaupun masih belum mengetahui apa yang bakal menantinya selepas ini, beliau berharap keputusan tersebut dapat memberinya peluang untuk mencari semula dirinya, lebih hadir buat pasangan dan anak serta menikmati semula momen bersama insan yang paling bermakna dalam hidupnya.

Kredit: Thread sindhujah03

 

[fbcomments]