Seekor gajah jantan yang dikenali sebagai Sulong dilaporkan telah dipindahkan ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu selepas sebelum ini mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila dilihat berkeliaran dalam keadaan cedera di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB).
![]()
Sulong Dibawa Ke Tasik Kenyir Selepas Dikesan Berkeliaran Dalam Keadaan Cedera
Sebelum ini, Sulong dilaporkan memasuki kawasan hutan di Kelantan selepas dikesan berada di tepi jalan, sebelum haiwan berkenaan dipercayai muncul semula di Gerik, Perak. Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan susulan keadaan fizikalnya, lebih-lebih lagi selepas kejadian kematian anak gajah di Gerik pada tahun lalu.
Terbaharu, seorang pengguna Threads berkongsi bahawa Sulong dipercayai telah diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Batu Melintang sebelum dibawa ke lokasi baharunya di Tasik Kenyir.
![]()
Perkongsian itu turut disambut dengan rasa lega oleh pengguna berkenaan yang sebelum ini bimbang melihat Sulong merayau di jalan raya.
“Alhamdulillah dari dia merayau-rayau di jalanan buat rasa nak gugur jantung saya bila teringat sejarah kematian anak gajah di Gerik tahun lepas. Escort pun ramai macam bawa orang kenamaan. Abang Sulong jaga diri baik-baik,” tulisnya.
Berita mengenai pemindahan Sulong kemudian mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang berharap gajah berkenaan berada dalam keadaan selamat dan baik di tempat baharunya.
![]()
Kisah Sulong turut mendapat perhatian warganet dari Indonesia yang mengikuti perkembangan mengenai keadaan haiwan berkenaan.
Untuk rekod, Tasik Kenyir turut mempunyai sebuah pusat konservasi gajah yang berperanan sebagai lokasi perlindungan haiwan berkenaan selain menjadi salah satu tarikan pelancongan di kawasan tersebut.
Kredit: Kosmo!, Thread heavenlyangel_