Kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang dipercayai dibunuh suaminya sendiri di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam KLIA pada malam Khamis mengejutkan ahli keluarganya.
Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, mengakui sukar mempercayai berita tersebut, lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan adik bongsunya itu dipercayai menjadi mangsa pembunuhan suaminya sendiri.
![]()
Abang Sukar Terima Berita Pegawai AKPS Maut Ditikam, Suspek Baru Beberapa Hari Keluar Penjara Akibat Dadah
Menurut Amran, dia menerima panggilan daripada seorang adik lelaki kira-kira jam 7.30 malam ketika berada di rumah. Selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia segera menghubungi balai polis sebelum mendapat pengesahan bahawa Norhazwani telah meninggal dunia akibat ditikam.
“Sebagai orang Islam, keluarga menerima kematian arwah, tapi tak sangka caranya begini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Amran, Allahyarham merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik yang dikenali sebagai seorang yang ceria dan jarang menceritakan masalah peribadinya kepada keluarga. Bagaimanapun, mereka mengetahui mangsa mempunyai masalah rumah tangga dan sedang melalui proses perceraian dengan suaminya.
![]()
Difahamkan, suami mangsa juga baru beberapa hari dibebaskan dari penjara atas kesalahan berkaitan dadah. Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun. Kedua-dua anak mereka kini berada di bawah jagaan seorang lagi adik perempuan Amran di Kelantan.
Amran turut memaklumkan bahawa sehari sebelum kejadian, seorang adik lelakinya yang menetap di Kelantan sempat bermalam di rumah mangsa. Ketika itu, pasangan berkenaan dilihat berada dalam keadaan biasa, malah mangsa sempat menasihati mereka supaya menjaga hubungan dan mengelakkan pertengkaran.
![]()
Mengulas kejadian tersebut, Amran berkata keluarganya berasa sangat sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku, namun menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya. Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada pagi Sabtu sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk dikebumikan.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kes berkenaan kira-kira jam 8.30 malam. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala maklumat lanjut akan dikeluarkan selepas siasatan di lokasi kejadian selesai.
![]()
Dalam pada itu, seorang rakan sekerja mangsa yang enggan dikenali turut meluahkan rasa terkejut apabila melihat kehadiran ramai anggota polis di kediaman Allahyarham. Dia pada mulanya menyangka berlaku kematian biasa sebelum mengetahui mangsa dipercayai dibunuh.
Rakan sekerja itu turut memaklumkan bahawa Norhazwani tidak menunjukkan sebarang kelainan ketika berada di tempat kerja dan mereka tidak mengetahui masalah rumah tangga yang dihadapinya.
Kredit: Sinar Harian