Perselisihan faham yang dipercayai bermula daripada perbualan dalam kumpulan WhatsApp didakwa menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Dua dipukul tiga rakan sekolah dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Tangkak, Johor, pada 13 November lalu.
![]()
Tiga Pelajar Lelaki Didakwa Pukul Rakan Sehingga Cedera, Polis Buka Siasatan
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 November kira-kira jam 12.09 tengah malam.
Menurut laporan Sinar Harian, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi di dalam sebuah kelas sebelum berlarutan ke kawasan pondok sekolah. Berdasarkan keterangan yang diberikan, mangsa mendakwa dirinya ditendang, ditumbuk dan disepak beberapa kali oleh tiga pelajar terbabit sehingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. Pemeriksaan perubatan mendapati dia mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kiri kepala, dada, perut serta lengan kiri. Susulan laporan tersebut, polis menjalankan siasatan sebelum mengenal pasti tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
![]()
Ketiga-tiga mereka turut mengakui penglibatan masing-masing dalam insiden itu ketika ditemu bual pihak polis. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Roslan menegaskan pihak polis memandang serius sebarang perbuatan buli dan keganasan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan pelajar. Beliau berkata, tindakan menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan sesuatu perselisihan bukanlah jalan yang betul kerana boleh menyebabkan kecederaan serta membahayakan keselamatan individu lain.
Sehubungan itu, ibu bapa dan pihak sekolah diminta supaya lebih peka terhadap tingkah laku serta pergaulan pelajar bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. Sebarang aduan berkaitan perbuatan buli juga perlu diberikan perhatian dan tidak boleh dipandang ringan demi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat untuk semua pelajar.
![]()
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya perkara yang boleh menyebabkan identiti kanak-kanak terlibat terdedah kepada umum.
Terdahulu, dua rakaman video yang dipercayai menunjukkan kejadian buli membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Parit Bunga, Tangkak, tular di media sosial. Turut tersebar sekeping surat daripada Hospital Pakar Sultanah Fatimah yang memaklumkan mangsa mengalami trauma susulan insiden berkenaan.
Kredit: Sinar Harian