Kemudahan pengangkutan udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipercayai telah disalahgunakan oleh sebuah sindiket bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan beberapa siri operasi hasil kerjasama risikan bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM.
![]()
Lima Pegawai TUDM Antara 11 Ditahan, Disyaki Terlibat Sindiket Seludup Dadah Guna Pesawat Tentera
Pengarah JSJN, CP Dato’ Hussein Omar Khan dalam kenyataan media pada 19 November memaklumkan, operasi yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah pada 17 November lalu berjaya membawa kepada penahanan 11 individu. Mereka terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah rentas sempadan berkenaan.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas sebanyak 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine atau syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta. Selain itu, sebanyak 6.98 kilogram cecair bahan kimia turut ditemukan dan dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil risikan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan haram itu sejak Julai 2026 dengan menggunakan kemudahan penerbangan ketenteraan untuk membawa bekalan dadah dari Semenanjung ke Sabah. Dadah yang dibawa masuk ke Sabah itu kemudiannya dipercayai dirancang untuk dipasarkan ke luar negara, khususnya Filipina dan Indonesia.
Siasatan turut mengenal pasti dua daripada enam orang awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penyelaras operasi sindiket berkenaan. Bagaimanapun, pihak polis masih memburu seorang lagi lelaki tempatan yang disyaki mengetuai kegiatan pengedaran dadah tersebut.
![]()
Bagi membantu siasatan, kesemua lima pegawai TUDM yang ditahan telah diperintahkan menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November 2026.
Sementara itu, enam suspek awam turut direman antara dua hingga lima hari. Ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati dua daripada individu awam berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Selain dadah dan bahan kimia yang dirampas, JSJN turut menyita tiga kenderaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket itu, iaitu Honda CR-V, Toyota Vios dan Land Cruiser dengan nilai keseluruhan RM172,062.
Secara keseluruhan, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan berpotensi menjejaskan sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun kedudukan mereka.
Kredit: Harian Metro, Facebook