Seorang pemuda berusia 24 tahun yang dikenali sebagai Abang Bas kelihatan emosional di Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas didakwa dengan dua pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak, yang didakwa berlaku sejak April lalu.
Video di bawah:
https://x.com/localrkyt/status/1833342759522209962?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Abang Bas Menangis Hadapi 2 Pertuduhan
Menurut laporan dari Kosmo! Online, tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.
Pertuduhan pertama melibatkan dakwaan bahawa Abang Bas telah mencium pipi seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, yang merupakan anak saudaranya, dengan tujuan seksual.
Kejadian ini dikatakan berlaku antara pukul 5 hingga 6 petang dalam bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang, dari April hingga September 2024. Tertuduh dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Untuk pertuduhan kedua, Abang Bas dituduh memerhati seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang dengan niat seksual, kejadian yang berlaku antara pukul 5 hingga 6 petang dalam bas sekolah di lokasi yang sama pada bulan ini.
Dakwaan ini adalah di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan telah memohon agar Abang Bas diwajibkan melapor diri di balai polis setiap
bulan dan dihalang daripada mengganggu mangsa serta semua saksi pendakwaan, termasuk kakak dan ibunya sendiri sebagai tanda syarat tambahan sehingga kes selesai.
Peguam Umar Zulkarnain, yang mewakili tertuduh, telah memohon pengurangan jumlah jaminan dari RM50,000 yang dikenakan bagi setiap pertuduhan. Beliau berhujah bahawa anak guamnya yang merupakan seorang pemandu bas sekolah, tidak mempunyai pendapatan tetap yang mencukupi.
Hakim Sayani Mohd. Nor telah memutuskan untuk menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 untuk kedua-dua pertuduhan, berserta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Tarikh 10 Oktober telah ditetapkan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat, sebagai respons terhadap aduan yang telah diterima.
Tindakan itu diambil selepas melihat hasil kandungan Abang Bas yang bertindak menyentuh bibir, mengusap kepala dan membetulkan tudung murid sekolah yang berada di dalam bas dipandu olehnya.
Kredit: Kosmo!