fbpx

Baru-baru ini, seorang pemuda menjadi perhatian apabila sanggup menunggang motosikal dari Melaka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok untuk menghantar adiknya memulakan pengajian di universiti tersebut.

Abang Sanggup Tunggang Motosikal Dari Melaka Ke Sintok Untuk Bawa Adik Sambung Belajar

Kisah penuh pengorbanan ini telah dikongsikan di laman Facebook rasmi UUM, di mana usaha abang kepada pelajar tersebut, Ee Tai Qing, 27, yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan, mendapat pujian dan penghargaan ramai.

Ee Tai Qing bersama adiknya, Ee Tai Zhi, memulakan perjalanan panjang dari Melaka ke Sintok demi memastikan adiknya dapat mendaftar sebagai pelajar baru di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.

Mereka tiba di Bangunan Canselori UUM dan telah disambut oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Ee Tai Zhi, yang diterima untuk mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti, meluahkan rasa syukur kerana berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati.

Beliau berjanji akan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pengajiannya dan mengambil manfaat daripada segala ilmu yang disampaikan oleh para pensyarah.

“Saya tak menduga mendapat pilihan program yang saya minati dan ingin menimba pengalaman baru di Lembah Sintok.

“Saya berjanji untuk memberi tumpuan sepenuhnya dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman,” ujarnya.

Kisah pengorbanan ini telah mendapat reaksi positif daripada warganet. Ramai mendoakan kejayaan Ee Tai Zhi sepanjang pengajiannya dan mengucapkan tahniah kepada abangnya atas pengorbanan yang begitu besar.

Mereka turut mengagumi kesungguhan abang tersebut yang sanggup menunggang motosikal selama dua hari perjalanan dari Sungai Udang ke Sintok demi masa depan adiknya.

Sebagai makluman, Ee Tai Zhi merupakan salah seorang daripada 4,195 pelajar yang telah mendaftar masuk ke UUM Sintok pada sesi pengambilan pelajar tahun 2024/2025 yang berlangsung pagi semalam.

Kredit: FB Universiti Utara Malaysia

 

[fbcomments]