fbpx

Abang kepada penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman iaitu Zain Sulaiman, tidak dapat menahan sebak sewaktu berkongsi perkembangan adiknya sewaktu ditemui di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, semalam.

Zain mengakui sedih dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menolak representasi dikemukakan Yasin. Namun begitu, Zain berkata mereka akan terus menyokong dan memberi sokongan kepada adiknya.

Tambah Zain, perkara yang membimbangkannya ialah keadaan kesihatan adiknya iaitu penurunan berat badan penyanyi itu yang begitu ketara.

“Rasa sedih itu memang ada tapi itu lumrah hidup. Kita akan terus berada bersama Yasin, terus berdoa. Insya-Allah.

“Cuma saya amat risau dengan kesihatan dia. Saya peluk dia pagi tadi, tinggal tulang”katanya.

Perkara itu turut dikongsi menerusi hantaran di Instagram milik penyanyi berkenaan.

Sementara itu, peguam yang mewakili Yasin, Ariff Azami memaklumkan, pelantun lagu Mimpi Laila itu bagaimanapun tetap bersemangat dan reda dengan ujian yang dihadapinya.

“Lawatan terakhir kami di penjara pun, Yasin memang seperti biasa bersemangat, redha dengan ujian tetapi kekhuatiran kita, keadaan kesihatan beliau yang nampak sedikit merunsingkan terutamanya susut berat badan yang agak ketara. Contohnya bila kita peluk dia, salam dia pun kita terasa tulang.

“Apabila kita siasat, makan, makanan dia cukup, mungkin melibatkan isu tekanan, isu kesan sampingan daripada ubat-ubat beliau. Itu kerunsingan kita. Sebab itu kita sangat-sangat berikhtiar dan berusaha agar satu keputusan yang cepat dapat diberikan kepada Yasin. Sebab semakin hari kita jumpa, setiap kali kita jumpa semakin susut.

“Walaupun beliau tetap orang yang sama, orang yang bersemangat itu, yang sentiasa positif itu tetapi keadaan fizikal badan beliau itu agak merunsingkan. Pihak keluarga lagilah bertambah runsing,” jelasnya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan Yasin untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya pada Rabu.

Sumber: OhMyMedia

[fbcomments]