Seperti yang umum tahu, pada Sabtu lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian enam sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer lima, Jalan Segamat-Kuantan.
Enam sekeluarga yang maut dalam tragedi tersebut ialah Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, bersama empat lagi anaknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Anak Sulung Mangsa Nahas Di Segamat Terima Tajaan Umrah
Terbaru, menurut sumber yang dilihat dari Harian Metro, anak sulung mangsa nahas di Segamat iaitu Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, dilaporkan telah menerima tajaan menunaikan umrah yang diberi oleh syarikat umrah dan haji, Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd.
Jay Ibrahim iaitu pengasas syarikat tersebut memaklumkan bahawa niatnya ingin membantu Abdur Rahman adalah untuk memberikan ruang kepadanya untuk berdoa di hadapan Kaabah dengan hati yang terbuka.
“Niat saya memang nak taja adik Abdur Rahman menunaikan umrah supaya dia boleh berdoa depan Kaabah, Makkah dan Raudhah di Madinah supaya adiknya yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat segera sembuh. Alhamdulilah, hasil bantuan rakan-rakan di Facebook, saya dapat berhubung dan berjumpa Abdur Rahman hari ini (Ahad). Saya menyatakan hasrat untuk menajanya menunaikan umrah dan dia terima. Cuma, dia mahu adiknya yang kini masih di ICU dapat pergi bersama. Saya cakap, kalau adik dia diizinkan hidup, saya memang akan bawa juga. Tapi, saya pelawa untuk pergi awal supaya dia dapat mendoakan kesihatan adiknya di sana. Seperti yang kita tahu, depan Kaabah antara tempat mustajab berdoa”, jelasnya.
Menerima Beberapa Sumbangan Yang Lain Juga
Menurut Jay Ibrahim lagi, selain menerima Pakej Umrah Premium Menara Jam Makkah, Abdur Rahman juga bakal menerima beberapa sumbangan berupa wang tunai, kain ihram, sejadah dan sebotol Zam Zam 5 liter. Beliau juga akan menguruskan segala dokumen yang berkaitan untuk membantu memudahkan Abdur Rahman berangkat ke Makkah kelak.
“Dia beritahu tak ada passport, tapi saya cakap akan bantu uruskan semuanya. Bila-bila saja dia nak pergi pun boleh. Kebetulan saya memang duduk di sana. Kalau dia nak pergi minggu depan, kakitangan saya akan bantu. InsyaAllah di sana Abdur Rahman boleh merawat jiwa di depan Kaabah. Semoga dia diberi kekuatan. Niat saya ini lebih pada tanggungjawab sebagai orang Islam untuk membantu mereka yang susah. Saya bersimpati atas apa yang berlaku”, ujarnya lagi.
Sekadar info tambahan, jenazah kesemua enak beranak telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong pada petang Sabtu.
Kredit: Harian Metro