Seorang pelajar lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai rebah dan tidak sedarkan diri ketika menyertai kejohanan merentas desa di sekolah menengahnya pada Jumaat semalam.
Rebah Dan Pengsan Sebaik Menghampiri Garisan Penamat
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah iaitu Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab, beliau memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada jam 8 pagi dan pelajar yang bernama Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sebaik sahaja menghampiri garisan penamat.
“Allahyarham dan seramai 700 pelajar lain telah mulakan larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer. Semasa pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Difahamkan, guru yang berada di lokasi kejadian telah melakukan usaha memberikan bantuan pernafasan, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Pihak sekolah kemudiannya menghubungi talian 999 dan pelajar berkenaan telah dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk tindakan lanjut.
“Ambulans tiba di Unit Kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar itu disahkan meninggal dunia,” jelasnya lagi.
Mangsa Menghidap Penyakit Jantung Berlubang
Sementara itu, bapa Allahyarham memaklumkan bahawa anaknya itu menghidap penyakit jantung berlubang sejak tahun 2016 lagi. Malah, mangsa juga mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa.
Syahrul Anuar kemudiannya mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Kredit: Sinar Harian