Seorang wanita dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam dengan gunting oleh anak lelakinya yang dikatakan mempunyai masalah mental, dalam kejadian di Pulau Pinang.
Anak Tikam Ibu Guna Gunting
Memetik laporan Berita Harian, difahamkan suspek telah menghubungi abangnya pada jam 5 petang bagi memaklumkan perkara tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut iaitu Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, beliau memaklumkan bahawa abang suspek kemudiannya menghubungi polis bagi tindakan lanjut. Tambah Razlam, suspek yang juga anak bongsu berusia 40 tahun itu diberkas di unit kediaman pangsapuri berkenaan selepas laporan diterima.
“Siasatan awal mendapati anak sulung dan kedua menghubungi mangsa sebelum kejadian namun panggilan itu tidak dijawab.
“Mereka kemudian dikejutkan dengan panggilan mengenai kematian ibu akibat ditikam menggunakan gunting oleh suspek,” jelasnya.
Suspek Pernah Masuk Wad Psikiatri
Razlam turut menambah, mangsa yang berusia 67 tahun dikatakan hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu bermula Jumaat.
Manakala baki hari yang lain, dia akan tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung.
“Suspek juga pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya ketika mereka tinggal bersama di Batu Maung. Selain itu suspek juga pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini, pada tahun lalu,” katanya.
Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) proses bedah siasat.
Kredit: Berita Harian