Sambutan Aidiladha di sebuah kampung bertukar pilu apabila seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai aktiviti gotong-royong ibadah korban pada tengah hari Sabtu.
![]()
Lelaki Meninggal Dunia Selepas Sembelih Lembu Ketiga
Mangsa, Radzuan Nanyan, 50, yang aktif membantu dalam kerja penyembelihan lembu di Kampung Sungai Rumput, dilaporkan rebah secara tiba-tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan padang yang menjadi lokasi pelaksanaan ibadah tersebut.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman memaklumkan lelaki terbabit dipercayai tidak sedarkan diri sejurus selesai kerja-kerja menyembelih lembu ketiga pada hari tersebut.
“Mangsa telah segera dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, pihak hospital mengesahkan beliau telah meninggal dunia setibanya di unit kecemasan,” katanya.
![]()
Tambah beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut.
Difahamkan, arwah merupakan salah seorang penduduk yang sentiasa terlibat secara aktif dalam aktiviti kariah, termasuk membantu melancarkan urusan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini.
Kredit: Sinar Harian