fbpx

Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memecahkan cermin ambulans milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sibu, Sarawak baru-baru ini.

Lelaki Bersenjata Berjaya Ditahan

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu iaitu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, beliau memaklumkan bahawa sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya menahan suspek berusia 44 tahun itu sekitar jam 2 petang, Isnin.

“Semasa tangkapan dibuat ke atas suspek, polis merampas sebilah kerambit dari tangan suspek. Polis turut menjumpai sebilah parang jenis ‘kwan tao’ di dalam kenderaan yang dipandunya,” katanya.

Beliau juga menjelaskan pada sekitar jam 12.21 tengah hari pada hari sama, polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang mengatakan bengkel membaiki pendingin hawa kenderaan miliknya didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Selepas itu, suspek kemudian bertindak memukul dan memecahkan cermin sebuah kenderaan jenis ambulans dengan menggunakan sebilah parang jenis ‘kwan tao’.

Susulan kejadian itu, katanya, polis berjaya mengesan dan menangkap suspek pada hari yang sama.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis meth/amp,” jelasnya.

Menurut beliau, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” ujarnya di akhir kata.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]