Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membakar anak kucing hidup-hidup di sebuah pangsapuri pada minggu lalu.
Video di bawah:
https://x.com/redzuannewsmpb/status/1782774504495980979?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Budak 13 Tahun Mengaku Bersalah
Berdasarkan laporan Harian Metro, pesalah juvana membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.
Menurut pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan anak tunggal keluarganya didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas secara kejamnya menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan itu di sebuah pangsapuri pada jam 1.08 petang, 22 April lalu.
Dia didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan dia boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon jaminan RM10,000 berikutan kesalahan itu membabitkan penganiayaan haiwan dan berkepentingan awam.
Ibu pesalah juvana yang berusia 30 tahun itu dalam rayuannya memohon agar ikat jamin dapat dikurangkan berikutan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pekerja kilang di sebuah syarikat elektronik dan berstatus ibu tunggal.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Nik Siti Norazlini membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, tular di media sosial yang memaparkan tiga individu dilihat dengan sengaja membakar seekor anak kucing secara hidup-hidup di tapak parkir motosikal sebuah flat sebelum perkara itu dilaporkan oleh seorang wanita.
Kredit: Harian Metro