Pada Selasa semalam, tersebarnya sebuah video pergaduhan yang melibatkan beberapa orang lelaki yang dikatakan berebut pelanggan dan kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan premis perniagaan berdekatan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.
Berebut Pelanggan Punca Pergaduhan Berlaku
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Sinar Harian, pergaduhan yang melibatkan beberapa orang lelaki serta wanita itu adalah atas punca berebut pelanggan di kawasan gerai makan laman Pasar Siti Khadijah. Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu iaitu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima dua laporan polis daripada kedua-dua pihak berhubung kejadian tersebut, namun pada beberapa jam kemudian mereka telah menarik balik laporan tersebut.
Walaupun Laporan Ditarik Balik, Namun Pihak Polis Masih Teruskan Siasatan
Kata Mohd Rosdi lagi, walaupun kedua-dua pihak telah menarik balik laporan polis yang dibuat dengan tujuan untuk selesaikan kes, namun ianya bukanlah jalan penyelesaian kerana telah memberi kesan menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya.
“Jadi pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diambil kerana tidak mahu orang ramai akan terbiasa dengan tindakan sendiri dengan membelakangi peruntukan undang-undang semasa”, jelasnya.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan jika mereka disabitkan kesalahan , mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Kredit: Sinar Harian