Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden kematian isterinya yang tercampak keluar dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar.
![]()
Akibat Bertengkar Dengan Suami, Wanita Maut Tercampak Keluar Dari Van Di Kesas
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong, pada jam 6 petang semalam oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan itu mengaku terlibat dalam kes yang sedang disiasat. Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu telah bertengkar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum kejadian berlaku.
![]()
Difahamkan, pasangan tersebut telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak. Semakan latar belakang turut mendedahkan bahawa suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan penyalahgunaan dadah. Keputusan ujian air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine.
Siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa mangsa dipercayai turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat, sementara siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kredit: Kosmo!