Setiap pasangan suami isteri pasti mengharapkan hubungan mereka berkekalan ke akhir hayat. Namun apabila berlakunya perpisahan, semestinya mereka mengharapkan perpisahan secara baik. Tetapi apakan daya, tidak semua perpisahan dilakukan secara baik.
Baru-baru ini tular satu berita tentang seorang lelaki menikam bekas isterinya atas dasar cemburu disebabkan rujukan untuk bersama ditolak yang dipercayai terjadi di Taman Desa, Pasir Tumboh pada awal pagi Ahad.

Sudah Berpisah 6 Tahun Lalu
“Siasatan awal mendapati suspek adalah bekas suami kedua mangsa dan berpisah sejak enam tahun lepas. Mangsa sebelum itu pernah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak bersama suami pertama”, jelas Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun ketika dihubungi semalam.
Beliau turut menambah bahawa terdapat 13 kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi.
Ditikam Akibat Cemburu
Menurut sumber Bernama, ketua polis menyatakan bahawa motif awal kejadian itu berlaku akibat cemburu kerana bekas isteri suspek dipercayai mempunyai teman lelaki dan hasrat suspek untuk kembali bersama bekas isteri telah ditolak.
“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikatakan bertengkar dengan suspek di dalam bilik di rumah itu sebelum mendengar jeritannya. Selepas jeritan, mangsa dilihat keluar dari bilik dalam keadaan berlumuran darah sebelum rebah di ruang tamu”, ulas Muhammad Zaki.
Suspek Dipercayai Menggunakan Pisau Pemotong Sayur
Suspek yang berusia 51 tahun itu berjaya ditahan tidak jauh dari rumah tersebut sebelum polis mendapat laporan daripada anak saudara mangsa yang tinggal bersama. Polis juga menemui sebilah pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan untuk menikam bekas isterinya itu.
Pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kredit: Bernama, Ohmymedia