Dua lelaki termasuk seorang warga emas dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan motosikal di Jalan Pendek, dekat Kampung Kota, pada petang Ahad.
Video di bawah:
https://x.com/redzuannewsmpb/status/1830408204230307845?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Motor Bertembung Akibat Elak Asap Dan Kedua-Dua Mangsa Disahkan Maut Ditempat Kejadian
Difahamkan, kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.45 petang itu mengorbankan Muhammad Shafiq Mat Dam, 28 tahun, dan Ismail Awang yang berusia sekitar 70-an, dimana kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Memetik laporan Kosmo!, saksi kejadian iaitu seorang wanita bernama Nor, 59 tahun, melaporkan bahawa Ismail sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli roti di sebuah kedai tempatan. Motosikal yang ditunggang Ismail dilihat bertembung dengan motosikal yang dikendalikan oleh Muhammad Shafiq yang datang dari arah bertentangan.
Menurut Nor, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera menghubungi pihak polis setelah melihat kedua-dua mangsa dalam keadaan berlumuran darah.
Kejadian dipercayai berlaku selepas Muhammad Shafiq cuba mengelak daripada melanggar asap tebal hasil pembakaran sampah berhampiran rumah penduduk. Dalam usaha untuk mengelak, beliau bertembung dengan motosikal Ismail yang datang dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu iaitu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima laporan mengenai kemalangan tersebut dan kini sedang menjalankan siasatan terperinci untuk memahami punca sebenar kejadian.
Kredit: Kosmo!