fbpx

Seorang guru wanita dilaporkan maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas akibat melalui permukaan jalan rosak di Jalan Gapam-Bemban pada Selasa semalam.

Terlanggar Kawasan Tidak Rata, Lalu Hilang Kawalan Dan Maut Di Lokasi Kejadian

Memetik laporan Berita Harian, kejadian berlaku pada jam kira-kira 11.20 pagi ketika mangsa yang bernama Siti Sarah Mohamed Nuwawi ,32, yang juga merupakan guru kanan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Jasin Bestari sedang menunggang motosikal menghala ke Gapam dari Bemban.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin iaitu Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, beliau memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia selepas empat jam kejadian ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dipercayai terlanggar kawasan yang tidak rata kerana terdapat kerosakan pada permukaan jalan hingga hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di kiri jalan.

“Akibatnya mangsa cedera parah di kepala dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang di unit kecemasan,” ujarnya.

Polis Cari Saksi

Ahmad Jamil turut berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan meminta saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan hadir atau menghubungi balai polis berhampiran.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]