Seorang pelajar tingkatan empat di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman, Terengganu, ditemui tidak sedarkan diri di kawasan sekolah selepas dipercayai menghisap rokok elektronik jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan pada Isnin lalu.
Tak Sedarkan Diri Sehingga Mengalami Sawan
Pelajar lelaki berusia 16 tahun itu segera menerima rawatan perubatan setelah mengalami kesan teruk akibat pengambilan bahan tersebut.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi, apabila beberapa murid menyedari keadaan pelajar tersebut dan memberitahu guru yang kemudian membawa mangsa ke klinik kesihatan terdekat dengan bantuan keluarganya. Mangsa akhirnya dirujuk ke unit kecemasan Hospital Kemaman.
Pemeriksaan lanjut di hospital menunjukkan bahawa pelajar itu mengalami sawan kritikal akibat penggunaan berlebihan bahan kimia berbahaya dalam vape berkenaan. Pelajar tersebut kini masih dirawat di hospital.
Menurut sumber, penggunaan vape dalam kalangan pelajar di sekolah tersebut telah menjadi masalah yang serius sejak tiga tahun lalu. Kejadian ini telah menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman iaitu Superintendan Hanyan Ramlan mengesahkan bahawa laporan telah diterima dan siasatan sedang dijalankan untuk menangani isu ini dengan lebih serius.
Kredit: Buletin TV3