Seorang jurugambar berbangsa India dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam oleh teman wanitanya dalam kejadian di sebuah rumah yang terletak di Bandar Rimbayu, Isnin.
Tikam Teman Lelaki Sebab Curang
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang doktor di Hospital Cyberjaya yang memberitahu mereka menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, pengadu telah membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam masa 30 minit tetapi tiada tindak balas dan denyutan nadi dari mangsa yang berumur 26 tahun itu.
Selain itu, terdapat kesan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri mangsa akibat ditikam dengan sebilah pisau oleh teman wanitanya.
Suspek Telah Ditahan Polis
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa telah membuat tangkapan terhadap suspek di kawasan hospital.
“Mangsa yang berusia 26 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia pada 7.25 pagi, semalam dengan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dipercayai ditikam dengan sebilah pisau. Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membuat tangkapan terhadap teman wanita mangsa di kawasan hospital.
“Hasil semakan, wanita berusia 26 tahun itu adalah bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah cemburu kerana suspek mendapati mangsa telah berlaku curang terhadapnya,” jelasnya.
Ahmad Ridhwan turut memaklumkan wanita berkenaan direman enam hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.
Kredit: Harian Metro