fbpx

Seorang wanita berusia 20 tahun ditemukan maut di dalam sebuah kereta selepas dipercayai keracunan gas monoksida ketika bersama rakan lelakinya di sebuah stesen minyak yang terletak di Jalan Ismail pada malam semalam.

Ditemukan Dalam Keadaan Terbaring Dan Tidak Sedarkan Diri

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Kosmo! Online, Ketua Polis Daerah Kota Bharu iaitu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud memaklumkan bahawa mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jenis Myvi. Kejadian tersebut difahamkan terjadi kira-kira jam 10.17 malam, Ahad.

“Mangsa wanita disyaki sudah meninggal dunia di dalam kereta tersebut manakala rakannya tidak sedarkan diri”, katanya.

Maut Akibat Keracunan Gas Monoksida

Mengulas lanjut, hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati bahawa kematian wanita tersebut adalah berpunca daripada keracunan gas monoksida. Mohd Rosdi turut menambah mangsa lelaki ketika ini masih menerima rawatan di HRPZ II.

Menurutnya, polis mengingatkan tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu bagi menghormati privasi keluarga mangsa.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kredit: Kosmo! Online

[fbcomments]