fbpx

Seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila sanggup melibas adik lelakinya sendiri dengan menggunakan sabit hanya disebabkan perselisihan faham yang berlaku dalam kejadian di Taman Kluang Barat, Kluang, Johor pada Jumaat lalu.

Bertengkar Akibat Salah Faham

Berdasarkan sumber Majoriti Official, Ketua Polis Daerah Kluang iaitu Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 3.30 pagi di rumah mangsa. Difahamkan, ia melibatkan mangsa, Fu Kui Fatt yang berusia 42 tahun bersama suspek yang merupakan abang kepada mangsa yang berusia 44 tahun.

Dikatakan sebelum kejadian, kedua-dua individu terbabit sedang bertengkar akibat daripada perselisihan faham yang berlaku.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mencederakan Kui Fatt menggunakan sabit dalam pergaduhan itu sebelum dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) menggunakan ambulan. Bagaimanapun, kira-kira pukul 2.30 petang semalam (Jumaat), mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan yang banyak,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Jika Disabit Kesalahan Boleh Dikenakan Hukuman Mati

Mengulas lanjut, Bahrin berkata pihak polis sudah menahan suspek pada jam 2.30 petang dan telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing adalah negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan dan jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum mati.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]