fbpx

Seramai 27 individu yang dipercayai pempengaruh di media sosial dilaporkan telah ditahan polis pada Khamis kerana didakwa mempromosikan laman kegiatan judi haram dalam talian.

27 Orang Influencer Ditahan Polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman iaitu Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan bahawa pihaknya melaksanakan serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang semalam selepas dua bulan risikan.

Difahamkan, pempengaruh yang ditahan terdiri daripada 23 wanita dan empat lelaki, berusia antara 21 dan 35 tahun.

“Modus operandi digunakan adalah mereka (pempengaruh) akan dipilih oleh sindiket yang menilai mereka dari jumlah pengikut di laman sosial. Lagi ramai pengikut lagi tinggi amaun bayaran diberikan.

“Hasil siasatan mendapati setiap pempengaruh dibayar antara RM1,500 hingga RM8,000 di satu platform media sosial, bergantung jumlah pengikut mereka di media sosial.

“Siasatan mendapati setiap pempengaruh aktif sekurang-kurangnya di dua platform media sosial,” jelasnya.

Polis Merampas 30 Unit Telefon Bimbit Untuk Siasatan Lanjut

Tambah Mohd Shuhaily lagi, pihaknya turut merampas sebanyak 30 unit telefon bimbit berlainan jenama milik kesemua suspek untuk diserahkan kepada forensik bagi tindakan lanjut.

“Selain menjual produk-produk seperti produk kecantikan dan lain-lain, pempengaruh ini juga mempromosi laman kegiatan judi dalam talian.

“Semua pempengaruh dipercayai dibayar oleh beberapa sindiket judi berlainan sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket judi yang menjadi dalang utama dalam kes tersebut.

“Sindiket belum dikenal pasti sama ada warga tempatan atau warga asing. Perkara ini masih dalam siasatan.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]