Seorang pelawak berusia 38 tahun bersama isterinya berusia 37 tahun dilaporkan telah direman polis selama dua hari bermula Selasa bagi membantu siasatan tentang penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram.
Pelawak Ditahan Akibat Sebar Maklumat Dalaman Polis
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan kedua-dua pasangan tersebut ditahan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam jam 7 malam Isnin, dan telefon bimbit mereka turut dirampas untuk membantu siasatan polis.
“Kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Shah Alam, hari ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” ujar sumber.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tentang tangkapan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berkaitan penulisan membabitkan IPD Shah Alam dan penyebaran gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Sahabudin Abd Manan yang meninjau IPD terbabit.
Kredit: Harian Metro