fbpx

Seorang influencer atau pempengaruh di media sosial dilaporkan telah ditahan polis selepas didakwa menunjukkan kemaluan serta membuat panggilan lucah terhadap seorang wanita menerusi panggilan video baru-baru ini.

Dua Individu Terbabit Berkenalan Di Media Sosial

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju iaitu Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan dari pengadu pada 17 Mei lalu dan mereka berjaya menahan pempengaruh lelaki berusia 27 tahun itu pada jam 2.25 petang Khamis, semalam.

“Pengadu yang tidak bekerja mendakwa menerima panggilan video daripada seorang lelaki yang dikenalinya semasa berada di rumahnya di Taman Melewar.

“Hasil siasatan awal, pengadu berkenalan dengan suspek sejak awal bulan ini melalui laman sosial Instagram. Suspek membuat panggilan video kepada pengadu dan menunjukkan kemaluannya serta bercakap lucah dengan pengadu. Pengadu kemudian membuat laporan polis,” jelasnya.

Pempengaruh Sudah Dibebaskan Dengan Jaminan

Walaupun suspek sudah ditahan polis untuk membantu siasatan, namun dia telah dibebaskan dengan jaminan selepas memberikan keterangan. Menurut hasil siasatan, polis mendapati suspek memaklumkan bahawa dia pernah berjumpa dengan pengadu sebelum ini.

Susulan daripada itu, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Mohamad Lazim turut menasihati orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan individu baru dikenali dan berhati-hati dalam menggunakan media sosial.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]