fbpx

Gara-gara tidak dapat melunaskan hutang untuk menggantikan pemadam rakannya, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun merelakan dirinya menjadi mangsa seks rakan sebayanya.

Budak Perempuan Terpatahkan Pemadam Rakan Dan Tidak Cukup Wang Untuk Ganti Pemadam Baru

Berdasarkan laporan Harian Metro, kanak-kanak perempuan itu dikatakan mematahkan pemadam rakannya dan tidak mempunyai wang yang secukupnya untuk menggantikan dengan pemadam yang baru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada tahun lalu di Kuala Lumpur dan suspek melibatkan dua kanak-kanak masing-masing berumur sembilan dan 10 tahun.

“Kanak-kanak itu sendiri bersetuju (rogol berkumpulan) bersama dua rakannya berusia sembilan dan 10 tahun kerana tidak mempunyai wang untuk menggantikan pemadam.

“Jadi memandangkan semua yang terlibat berusia bawah 10 tahun, tiada kes difailkan, kerana tiada liabiliti jenayah,” katanya.

Tambah Mohd Shuhaily, timbalan pendakwa raya juga telah dirujuk namun tiada bukti yang dikemukakan.

“Kejadian itu berlaku tahun lalu dan kami telah pun membuka kertas siasatan kerana bimbang ini merupakan sebahagian daripada trend generasi baharu,” jelasnya.

Kes Rogol Bawah Umur Semakin Meningkat

Sementara itu, Mohd Shuhaily mendedahkan bahawa secara umumnya terdapat peningkatan kes rogol setiap tahun termasuk dalam kalangan bawah umur. Lebih membimbangkan, kanak-kanak sekarang mudah terdedah kepada media sosial dan pornografi yang membawa kepada masalah lebih besar.

“Kita boleh lihat (peningkatan) selepas pandemik Covid-19 kerana ramai orang berurusan melalui media sosial dan selepas ia berakhir, semuanya (kes) meningkat.

“Polis juga bimbang dengan kemudahan akses kanak-kanak kepada media sosial dan pornografi yang membawa kepada masalah sosial,” ujarnya.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]