fbpx

Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan ditemui lemas di dalam sebuah paya berdekatan Simpang Empat Salam pada jam 12.15 tengahari semalam ketika ibunya sedang leka mencuci kedai yang dilanda banjir.

Anak Lemas Ketika Ibu Sedang Basuh Kedai

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Harian Metro, difahamkan ibunya iaitu Nabihah Che Muda, 21, telah membawa anaknya, Firdaus Mohd Faisal ke kedai milik sauadaranya untuk membantu membasuh kedai selepas dilanda banjir pada beberapa hari yang lalu.

Nabihah menjelaskan beliau sentiasa mengawasi pergerakan anaknya itu, namun dalam sekelip mata bayinya hilang dari pandangan sebelum beliau terus bergegas mencari di kawasan sekeliling dan terlihat tangan anaknya itu sudah terkapai-kapai di dalam air.

“Saya cuba membantu dengan menghulurkan tangan untuk menarik anak saya namun dia mula tenggelam dan hilang. Saya kemudian memanggil sepupu untuk membantu namun kami tidak berjaya. Saudara saya kemudian segera menelefon bomba untuk meminta bantuan. Suami saya tidak ada bersama kerana baru dua hari ke Bangkok, Thailand untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Selepas dua jam, jasad anak saya ditemukan, saya reda namun masih dalam keadaan terkejut,” katanya.

Luluh Hati Melihat Anak Terkujur

Tambah Nabihah, beliau tidak biasa dengan kawasan tersebut kerana hanya datang melawat saudara beberapa kali, namun mengetahui bahawa kawasan sebelah kedai adalah paya dengan paras tinggi air terutama ketika banjir.

“Luluh hati saya melihat sekujur tubuh anak yang sudah lagi tidak bernyawa, tambahan pula Firdaus adalah satu-satunya cahaya mata yang saya ada. Lebih menyedihkan apabila suami saya jauh di Bangkok, Thailand, dan tidak ada bersama tetapi sudah dimaklumkan tentang apa yang terjadi,” ujarnya yang juga warganegara Thailand.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang iaitu Shapawi Stapa memaklumkan bahawa mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar paya. Menurutnya, bomba mngambil masa selama dua jam untuk menemui mayat di kawasan yang dipenuhi rumput tebal dan sampah sarap selain paras air yang tinggi.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM).

Kredit: Harian Metro, Buletin TV3

[fbcomments]