Penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana mendedahkan pengalaman hitam ketika ditahan tentera Zionis Israel sewaktu menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
@501awani “Saya hendak mengaji, Al-Quran ditarik,” jelas Aktivis Global Sumud Flotilla, Zizi Kirana. Tentera Israel tidak mengendahkan permintaan Zizi Kirana supaya tudungnya terus dipakai. AWANInews
Zizi Kirana Kongsi Derita Ditahan Tentera Israel, Tudung Direntap dan Al-Quran Dirampas
Menurut Zizi, saat ditahan, dirinya bukan sahaja diherdik tetapi turut diperlakukan secara biadap apabila dipaksa menanggalkan pakaian serta dihina kerana memegang al-Quran dan mengenakan hijab.
“Saya pakai topi, mereka suruh buka. Bila saya cuba menenangkan diri dengan membaca al-Quran, mereka rampas kitab itu sambil bertanya, ‘apa ini?’,” katanya.
Insiden berkenaan tidak berakhir di situ. Zizi mendedahkan, layanan kasar turut diterima apabila dia dibawa ke pusat imigresen Israel. Tudungnya direntap, kasut serta stokin dipaksa ditanggalkan, malah dia diarahkan membuka pakaian sehingga dirinya berasa hilang maruah.
![]()
Situasi getir itu turut menyentuh hati rakan-rakan aktivis bukan Islam yang menyaksikan kejadian tersebut sehingga ada yang menangis melihat layanan terhadapnya.
“Mereka jerit suruh saya kuat, saya hanya mampu menyebut nama Allah ketika diperlakukan begitu,” jelasnya lagi.
Di penjara, Zizi dan rakan aktivis, Ardell Aryana, terpaksa berdepan keadaan lebih sukar. Mereka dipaksa memakai pakaian tahanan tanpa hijab, inner baju digunting, kasut ditarik, sementara tudung pula sekali lagi direntap sebelum dipaksa menaiki bas ke penjara. Bagaimanapun, Zizi tetap berpegang pada prinsipnya sebagai Muslim dengan memeluk erat sisa tudung yang masih ada.
![]()
“Kami sampai di penjara tanpa hijab. Untuk solat, saya dan Ardell terpaksa guna selimut menutup kaki kerana tiada stokin,” katanya sambil menyifatkan ia sebagai ujian besar yang tetap diredah dengan kekuatan iman.
Zizi turut menzahirkan rasa penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Turkiye serta pihak konsulat yang memberi sokongan selepas mereka dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Misi Global Sumud Flotilla yang disertai lebih 500 aktivis daripada 45 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia, membawa mesej kemanusiaan dengan belayar ke Gaza bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin yang terus ditindas.
Kredit: TikTok Astro Awani, Zayan