Pelakon veteran iaitu Kamal Bakar, 62, dilaporkan meninggal dunia pada jam 1 pagi, Selasa akibat komplikasi kanser paru-paru yang dihidapinya.
Meninggal Dunia Selepas Lama Bertarung Nyawa
Berita pemergian Allahyarham telah disahkan sendiri oleh anaknya yang juga merupakan seorang pelakon bernama Muhammad Hanis Kamaruldzaman. Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Hanis, dia memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia di Hospital Besar Melaka akibat komplikasi kanser yang dihidapi Allahyarham.
“Assalamualaikum semua, ayah sudah meninggal dunia. Jam 1 pagi tadi (Selasa),” tulisnya.
Sementara itu, Hanis juga memberitahu jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru, Melaka pada hari ini.
Sebelum ini, Allahyarham Kamal disahkan menghidap kanser sejak April lalu dan pada Jun, beliau ditidurkan selepas mengalami komplikasi kanser dan kekurangan oksigen dalam badan. Pada Sabtu lalu, Hanis memaklumkan bapanya dalam keadaan nazak dan mereka sekeluarga diminta bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Kredit: FB Hanis Kamal Bakar, Mstar