fbpx

Seorang remaja perempuan yang mengalami masalah mental kemurungan berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 semalam.

Berjaya Peroleh 9A Walaupun Mengalami Kemurungan Akibat Gangguan Misteri

Menurut laporan Sinar Harian, pelajar daripada SMK Kubang Kerian yang bernama Siti Bayu Mohd Ridzuan, 18, ini berjaya memperoleh dua A+ bagi mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Islam, manakala tujuh A untuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi, Pendidikan Seni Visual dan Ekonomi.

Difahamkan, Siti Bayu yang turut merupakan anak keempat daripada lima beradik ini disahkan mengalami kemurungan akibat gangguan misteri sejak Tingkatan Tiga semasa belajar di sebuah sekolah cemerlang dan tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Ceritanya, dia juga terpaksa ditukarkan ke sekolah lain iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian II semasa Tingkatan Empat sebelum bertukar dan berjaya menamatkan persekolahan di Tingkatan Lima di SMK Kubang Kerian selain mencapai 8A serta 1C bagi Matematik pada peperiksaan percubaan yang lalu.

“Harapan tinggi daripada pihak sekolah dan ibu bapa menjadi tekanan kepada saya untuk bertungkus lumus mendapatkan kesemua A kerana saya tidak mahu mengecewakan mereka.

“Paling penting saya tidak mahu kecewakan diri sendiri sebab saya dah berjanji dengan diri sendiri nak dapat semua A dan sambung belajar ke Universiti Malaya seterusnya ke luar negara iaitu United Kingdom,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang peguam.

Pastikan Dapat Tidur Yang Cukup, Perlu Dapatkan Rawatan Di Hospital Sekiranya Kemurungannya Datang Menyerang

Siti Bayu turut memberitahu penjagaan kesihatan mental diri sendiri perlu dijaga dengan tidak menghiraukan kata-kata buruk orang lain, selain memastikan dirinya perlu mendapatkan tidur yang cukup setiap hari.

“Saya pastikan tidur enam hingga tujuh jam sehari kerana otak kita memerlukan tenaga untuk belajar dan minda tidak berfikir benda lain, jadi kita boleh fokus belajar.

“Saya selalu cakap tak boleh fokus dan minum air kosong sebanyak dua liter sehari serta tak minum kopi sebab kafein boleh menyebabkan saya sakit kepala.

“Pesanan saya supaya tidak menghiraukan kata-kata orang lain dan hanya fokus kepada diri sendiri kerana orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan, hanya anda boleh tentukan kehidupan sendiri,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Siti Bayu juga memastikan dirinya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada bila-bila masa sahaja atau ketika kemurungannya menyerang.

“Saya belajar tak tulis guna pen berwarna hitam tetapi guna pen berwarna-warni atau merah kerana lebih menarik dan otak cepat hadam.

“Saya nak ucap terima kasih Dr Suria, walaupun saya ada masalah dari segi mental, Dr Suria bagi saya semangat untuk terus hidup,” ujarnya di akhir kata.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]