Setelah hampir tiga minggu video yang menunjukkan kelibat ‘hantu’ di kawasan Jalan Austin Heights Utama mencuri perhatian ramai, pihak polis akhirnya berjaya menangkap seorang wanita yang disyaki mengalami masalah kesihatan mental.
Penahanan tersebut dilakukan kelmarin, pada jam 10.51 malam di lokasi yang sama.
Video di bawah:
https://x.com/update11111/status/1825145366599319744
Wanita Masalah Mental Pura-Pura Jadi Hantu Berjaya Diberkas
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat, beliau memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu berpura-pura sebagai ‘hantu’ dengan tujuan menakut-nakutkan pengguna jalan raya.
Dia kemudian menyergah serta menendang kenderaan sebelum berpura-pura seolah-olah dilanggar, bertindak memeras ugut pemandu untuk mendapatkan wang sebagai ganti rugi.
“Pada jam 12.30 tengah hari, 27 Julai lalu, polis menerima satu video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang individu yang menyerupai seperti hantu yang menyergah kenderaan awam di tepi jalan.
“Kita kemudian membuat rondaan bagi tujuan mengesan dan menahannya, bagaimanapun beberapa kali gagal kerana individu terbabit melarikan diri,” jelasnya.
Beliau menambah, wanita itu dilihat mengilai semasa kejadian. Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya menangkapnya semalam selepas beberapa percubaan yang tidak berjaya.
Raub juga memaklumkan bahawa wanita tersebut mempunyai rekod jenayah pada 27 Jun 2018 di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan pernah didenda RM1,000. Ujian saringan awal mendapati wanita itu negatif dadah, dan semakan rekod perubatan menunjukkan dia pernah dirawat di Zon Kuning Hospital Sultan Ismail (HSI) pada tahun 2022 dan 2023 akibat kemalangan dan kemurungan.
“Suspek telah dirujuk ke HSI pagi ini untuk pemeriksaan lanjut berkaitan keadaan mentalnya. Kami masih menunggu keputusan dari pihak hospital,” tambahnya.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, serta Peruntukan 23 Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan 1959. Pihak polis juga menggesa mana-mana pengguna jalan raya yang pernah menjadi mangsa pemerasan oleh wanita tersebut untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Kredit: Buletin TV3