Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas memakan tart keju yang dibeli oleh bapanya.

Menurut laporan dari Sinar Harian, mangsa yang bernama Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, meninggal dunia pada Khamis di Sandakan.

Mengalami Sawan Sebelum Meninggal Dunia

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah iaitu Datuk Dr. Asits Sana menyatakan bahawa mangsa mula mengalami gejala cirit-birit, demam, dan kehilangan selera makan sebelum keadaannya menjadi kritikal.

“Kes ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mempunyai sejarah memakan tart keju yang dibeli oleh bapanya pada 23 Julai,” kata Dr. Asits.

Difahamkan pada 24 Julai, mangsa mengalami sawan dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan, namun dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Rawatan kecemasan diberikan kerana mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan memerlukan bantuan pernafasan,” tambah Dr. Asits.

Ibu mangsa juga mengalami gejala yang sama setelah memakan tart keju tersebut dan kini menerima rawatan di Wad Perubatan Perempuan, Hospital Duchess of Kent (HDOK).

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian, termasuk pemeriksaan sejarah pergerakan dan pendedahan kes. Sampel makanan dan persekitaran turut diambil untuk tujuan analisis bagi menentukan punca sebenar kejadian ini.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]