Ikatan perkahwinan Aliff Aziz dan Bella Astillah akhirnya berakhir dengan perpisahan buat kali kedua selepas mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis.
![]()
Sah Cerai Talak Satu
Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz melafazkan ucapan cerai tersebut di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat.
Difahamkan sebelum cerai dilafazkan, Hakim Syarie meminta agar Aliff dan Bella untuk bersalaman buat kali terakhir, namun kedua- dua mereka enggan berbuat demikian.
“Bahawa saya menceraikan isteri saya dengan talak satu mulai hari ini”, lafaz Aliff.
Walaupun mereka enggan bersalaman, namun Bella kekal tenang ketika lafaz cerai dibuat, disamping dia bersetuju untuk tidak menuntut mutaan dan nafkah iddah.
Bella, 30, yang baru sahaja pulang dari Jakarta pada pagi tadi diwakili Peguam Syarie Azmi Mohd Rais manakala Aliff, 33, diwakili Peguam Syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Sebelum ini, Aliff Aziz pernah ditangkap khalwat bersama seorang pelakon yang juga merupakan sahabat kepada Bella Astillah di sebuah h kondominium mewah, Pavillion Suites pada 9 Mac lalu.
Susulan JAIS berjaya menangkap mereka, Bella kemudiannya membuat keputusan untuk memfailkan cerai terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan empat hari kemudian. Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella pada sebutan kedua kes dengan alasan masih sayangkan isterinya itu dan mahu mempertahankan rumah tangga mereka.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Aliff dan Bella juga pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.
Kredit: OhBulan!