fbpx

Pelakon sensasi iaitu Aliff Aziz dan Ruhainies dilaporkan mengaku tak bersalah atas tuduhan berkhalwat ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung pada hari ini.

Mengaku Tak Bersalah Atas Tuduhan Khalwat

Berdasarkan laporan Berita Harian, Aliff dan Ruhainies yang terlibat dalam kes khalwat pada 9 Mac lalu telah membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

“Saya mengaku tidak bersalah,” kata Aliff Aziz.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” ujar Ruhainies pula.

Bon Jaminan RM1,500

Dalam perkembangan lain, mahkamah telah menetapkan 12 Oktober 2024 sebagai tarikh prosiding seterusnya dan melanjutkan bon jaminan sebanyak RM1,500 sehingga sebutan kes nanti.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 27(a) dan Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk proses lanjutan bon jamin berhubung kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac.

Kedua-dua selebriti itu sebelum ini terlibat dalam kontroversi apabila mereka ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium.

Mereka kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menafikan dakwaan berkhalwat.

Ruhainies turut menjelaskan kronologi kejadian tersebut sambil berharap agar Aliff dan bekas isterinya iaitu Bella Astillah tidak berpisah.

Sekadar info, Aliff dan Bella yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 telah sah bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.

Mereka dikurniakan dua anak iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]