Pemergian Raja Gelek iaitu Datuk M Daud Kilau pada Isnin semalam telah mengejutkan rakyat Malaysia dan difahamkan pemergian Allahyarham juga sudah dapat dijangka oleh dirinya sendiri apabila Allahyarham seakan memberi bayangan selamat tinggal kepada cucunya dengan memberitahu dia mahu ‘pergi’, pada sehari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada petang semalam.
Cakap Dengan Cucu Nak Pergi
Berdasarkan sumber yang dipetik dari Utusan, dimaklumkan menantunya iaitu Hassan Ahmad memberitahu yang bapa mentuanya itu seolah-olah memberi petanda apabila dia sendiri memberitahu kepada cucunya bahawa dia mahu pergi sewaktu bertemu sebelum Allahyarham tidak lagi bercakap dan tidak sedarkan diri semalam.
“Semalam anak cucu ada balik melawatnya. Dia masih okey dan boleh bercakap lagi. Cucu sulungnya menangis sebab arwah ada sebut ‘atuk nak pergi dah’. Cucu pun menangislah dan tanya ‘kenapa atuk kata begitu?’ Bila mereka pulang sahaja, arwah tidak bercakap dan tidak sedarkan diri malam tadi,” jelasnya.
Allahyarham Seolah-Olah Beri Bayangan Nak Pergi Buat Selamanya
Hassan juga memaklumkan bahawa kondisi bapa mentuanya itu sudah kurang stabil sejak 12 Disember yang lalu. Allahyarham telah dimasukkan ke hospital dan keadaannya menjadi bertambah buruk apabila kuman sudah mula merebak ke seluruh badan.
Walaupun begitu, seluruh ahli keluaarga beliau reda dengan ketentuan yang sudah ditetapkan dan memutuskan jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datok, Perak hari ini bagi memberi ruang kepada keluarga untuk memberi penghormatan terakhir.
“Kita akan kebumikan arwah esok (hari ini). Ramai lagi ahli keluarga nak datang terutama anak cucu. Mereka ingin menziarahinya buat kali terakhir,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Allahyarham M Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau, 85, dikhabarkan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.46 petang 18 Disember 2023 di Hospital Teluk Intan, Perak.
Kredit: Utusan Malaysia