Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak tampil sekali lagi menuntut agar sebuah stesen televisyen melunaskan bayaran tertunggak berjumlah RM18,000 yang masih belum dijelaskan.
![]()
Amir Raja Lawak Tuntut Bayaran Tertunggak RM18,000, Perlu Biaya Kos Rawatan Bapa Hidap Kanser
Menerusi satu hantaran di Facebook, Amir memaklumkan bahawa tuntutan itu dibuat kerana beliau amat memerlukan wang tersebut untuk menampung kos rawatan bapanya yang kini sedang bertarung dengan penyakit kanser usus.
“Saya minta pihak berkenaan segera bayar RM18,000 tanpa diskaun, tanpa ansuran. Ini bukan soal bayaran kerja semata-mata, ini soal hidup dan mati abah saya,” katanya dalam hantaran tersebut.
Menurut Amir, beliau tidak mengharapkan sumbangan mahupun simpati daripada mana-mana pihak, sebaliknya hanya menuntut bayaran yang sepatutnya menjadi haknya sebagai tenaga kerja produksi.
“Saya tak minta duit kamu, saya tak mintak pinjam duit, yang saya minta adalah duit dan hak saya,” tegasnya.
![]()
Bekas peserta program Raja Lawak itu turut mendakwa bahawa beliau telah memaklumkan keadaan kesihatan bapanya kepada pihak produksi sejak awal, namun tidak menerima maklum balas yang sewajarnya.
“Dari awal abah saya ‘warded’ saya dah maklum pada diaorang, saya WhatsApp tunjuk keadaan abah saya tapi kena ‘sidai’ tanpa ada maklum balas positif,” tambahnya.
Amir turut mendedahkan bahawa pihak produksi pernah menawarkan bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000 minggu lalu susulan hantaran viral yang dimuat naik. Namun, beliau menolak tawaran itu kerana tidak mahu insiden tahun lalu berulang.
“Sebelum ini pun mereka pernah bayar RM5,000 awal tahun lepas, kemudian senyap begitu saja lebih setahun. Sebab itu saya tak mahu terima lagi bayaran berperingkat. Saya mahu jumlah penuh sekarang kerana kecemasan,” katanya.
![]()
Beliau turut berkongsi bahawa tekanan kewangan yang dihadapi menyebabkan beliau terpaksa menjual kereta miliknya jenis Proton Juara demi menampung keperluan keluarga.
Pada masa sama, Amir turut menitipkan doa agar bapanya segera diberikan kesembuhan daripada penyakit yang dihidapi dan berharap agar pihak berkaitan bertindak segera menunaikan tanggungjawab mereka.
Untuk rekod, Amir sebelum ini pernah mendedahkan jumlah penuh bayaran tertunggak adalah sebanyak RM23,000, namun beliau hanya menerima RM5,000 setakat ini.
Kredit: Facebook Amir Raja Lawak