Baru-baru ini pemergian insan tercinta iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, terutama di kalangan keluarga dan ahli terdekat.
Rabu semalam, anak kepada Allahyarham iaitu Fatihah Salahuddin telah memuat naik satu perkongsian di mana beliau meluahkan rasa sedih dan berkongsi bagaimana mereka sekeluarga pernah berada dalam keadaan susah sehingga boleh menampung diri sendiri kini.

Pernah Hutang Susu Sebab Hidup Susah
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Fatihah di laman Facebooknya, beliau mendedahkan bahawa keluarganya pernah merasa hidup dalam kesusahan, antaranya mereka hanya dapat menjamah lauk keropok selain pernah berhutang untuk membeli susu di kedai Cina untuk mereka adik-beradik yang masih kecil pada waktu itu. Fatihah menyatakan lagi kesusahan yang dialami mereka sekeluarga itu telah menjadi pendorong terbesar untuk mereka jadi lebih kuat dan bekerja keras lagi bagi memastikan rakyat tidak kelaparan.
“Kami juga pernah merasai makan berlaukkan keropok tanpa protein seperti daging dan ayam. Pernah juga mak cerita pada kami, ayah terpaksa hutang susu dengan apek kedai masa kami masih kecil. Mungkin itulah antara mendorong ayah bekerja keras untuk memastikan rakyat tidak lapar”, jelasnya.
Ibu Pernah Beri 30sen Untuk Beli Jajan
Fatihah yang kini merupakan seorang peguam berkata mereka adik beradik dulu pernah dibekalkan wang 30 sen untuk membeli jajan yang dimahukan sewaktu ketiadaan bapa di rumah. Katanya, mereka adik beradik telah diasuh dan diajar oleh ibu bapa untuk mengenal erti nilai, bukannya dari segi pangkat dan harta.
“Kami membesar dengan didikan mak dan ayah yang mengajar kami untuk mengenal nilai. Bukan untuk mengenal pangkat dan harta. Kami bukanlah asal keluarga senang. Kami juga pernah merasai erti kesusahan dan kesempitan. Terpahat di memori apabila ayah bawa kami lima beradik naik motor pergi kedai untuk belanja kami jajan dan aiskrim. Kalau ayah tiada di rumah, kami hanya dapat 30 sen untuk beli jajan daripada emak”, tambahnya lagi.

Impian Bapa Tercapai Mahu Meninggal Ketika Berbakti Demi Rakyat
“Dua bulan lepas ayah ada ajak makan bersama dengan Dato Mohd Azis Jamman. Kebetulan pada ketika itu kami berbual tentang kenapa ahli politik sukar untuk pencen. Ayah secara spontan jawab “ahli politik tak boleh pencen. Kalau dia pencen, otak dia tak gerak tak tahu nak fikir apa sebab tu saya selalu berdoa kalau saya pergi, biarlah dalam keadaan saya bekerja begini (bakti untuk rakyat)”, tulis Fatihah lagi dalam hantaran yang sama.
Doa ayahnya akhirnya dimakbulkan oleh Allah apabila Allahyarham Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam, Ahad lalu, dalam keadaan beliau masih berbakti demi negara tercinta.
Kredit: Facebook Fatihah Salahuddin