Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah menetapkan petang Khamis, 19 Mac 2026 bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah untuk melihat anak bulan Syawal bagi menentukan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Cerapan anak bulan akan dilakukan di 29 lokasi di seluruh negara, menurut kenyataan rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Anak Bulan Syawal Akan Dilihat Petang Khamis, 19 Mac 2026 di 29 Lokasi Seluruh Negara

Antara lokasi utama ialah Baitul Hilal di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Baitul Hilal Bukit Melawati, Kuala Selangor; Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam. Di Perak pula, cerapan dilakukan di Pantai Pasir Panjang, Manjong, manakala di Pulau Pinang, ia dilakukan di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh. Kedah pula melibatkan Pulau Langkawi, Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar.

Di Terengganu, cerapan dijalankan di Kuala Terengganu, Kemaman, Pulau Perhentian, serta Setiu. Kelantan melibatkan Pasir Puteh, Kuala Krai dan Kota Bharu. Di Sarawak, lokasi cerapan ialah Miri, Kuching dan Bintulu, manakala Sabah pula di Putatan. Pahang pula termasuk Cameron Highlands, Kuantan dan Nenasi, manakala di Labuan diadakan di Menara Universiti Malaysia Sabah. Tiga lokasi lain ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Majlis Raja-Raja menjelaskan bahawa tarikh Hari Raya ditentukan berdasarkan gabungan kaedah Rukyah (melihat anak bulan) dan Hisab (pengiraan astronomi). Keputusan rasmi akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam yang sama melalui radio dan televisyen supaya rakyat dapat mengetahui tarikh sebenar sambutan Hari Raya dan merancang ibadah serta perayaan dengan tepat.

Kredit: Malaysia Gazette

 

 

[fbcomments]