Seorang ibu meluahkan rasa kecewa dan bimbang apabila anak kecilnya mengalami kecederaan pada lengan ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh.

Kesan Luka Seperti Cengkaman Kuku, Ibu Dakwa Berlaku Ketika Anak Dalam Jagaan Pengasuh
Menurut perkongsian di media sosial, wanita tersebut mendakwa kesan luka yang dilihat pada lengan anaknya menyerupai cengkaman kuku yang agak dalam sehingga menampakkan lapisan kulit berwarna kekuningan.
Kejadian itu disedari selepas pengasuh memaklumkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa terdapat luka pada lengan kanak-kanak berkenaan. Namun, ibu beranak dua itu mempersoalkan bagaimana kecederaan sedemikian boleh berlaku memandangkan hanya beliau dan suami yang biasa memegang anak mereka.
Wanita itu juga memaklumkan, sepanjang pemerhatiannya sebelum ini, pengasuh berusia 24 tahun tersebut sering mempunyai kuku panjang serta memakai inai hitam di jari. Namun, sewaktu kejadian, kukunya didapati sudah dipotong pendek, menimbulkan rasa curiga bahawa tindakan itu bertujuan menghapuskan bukti.

Pengasuh berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan mendera dan menyatakan dirinya tidak akan tergamak mencederakan anak asuhan. Dia juga mendakwa luka tersebut mungkin berlaku sebelum kanak-kanak itu tiba di rumahnya.
Walau demikian, ibu tersebut menegaskan bahawa anaknya sentiasa berada dalam pemantauan rapi ketika di rumah dan mustahil mendapat kecederaan sedemikian di bawah jagaan mereka.
Perkongsian ini telah menarik perhatian warganet yang rata-ratanya menyarankan agar wanita berkenaan segera mencari pengasuh baharu demi keselamatan anak. Ada yang berpendapat, penjelasan panjang lebar pengasuh tersebut seolah-olah cubaan untuk menutup kesalahan.
Kredit: mStar
 
  
  
  
 