Kegembiraan sepasang suami isteri bertukar duka apabila anak sulung mereka, Muhammad Aish Irfan Mohammad Hakeem, 3, kini menderita penyakit Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC), iaitu sejenis kerosakan otak teruk selepas dijangkiti Influenza A.
@doubleaish2223 Semoga dipermudahkan segala urusan rawatan anakku sentiasa 🤲🏻 #influenza #anecfighter #kesanvirusinfluenzaA #fyp #terlantar
Kanak-Kanak 3 Tahun Disahkan OKU Fizikal Akibat Jangkitan Influenza A
Ibunya, Siti Nur Shafiqa Suraini, 31, berkata sebelum jatuh sakit, anaknya merupakan kanak-kanak yang ceria, aktif dan bijak, malah mampu menyebut huruf A hingga Z serta mengenal warna. Namun segalanya berubah dalam sekelip mata apabila Aish tiba-tiba mengalami demam panas mendadak hingga mencecah 39.8 darjah Celsius pada waktu subuh.
“Malam itu dia masih bermain dan minum susu seperti biasa, tapi kira-kira jam 4.30 pagi dia menangis kuat, muntah dan badannya panas teruk. Kami segera bawa ke Hospital Melaka sebab dia dah lemah dan tak respon bila saya panggil,” katanya.
Setibanya di jabatan kecemasan, suhu badan Aish dilaporkan meningkat sehingga 41 darjah Celsius manakala tahap oksigennya menurun dengan ketara. Keadaan itu memaksa doktor menempatkannya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Hasil imbasan CT dan MRI kemudian mengesahkan terdapat kerosakan otak berpunca daripada jangkitan Influenza A.
![]()
“Pada hari kedua, dia terpaksa ditidurkan dan doktor minta kami bersedia untuk sebarang kemungkinan. Hampir sebulan dia bertarung nyawa di PICU sebelum keadaannya beransur stabil,” ujar Shafiqa.
Namun, akibat jangkitan tersebut, Muhammad Aish Irfan kini kehilangan keupayaan fizikal sepenuhnya. Dia tidak lagi mampu bercakap, bergerak atau mengawal tubuh, malah hanya boleh minum susu melalui tiub. Kanak-kanak itu juga disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal selepas pakar mengesahkan gelombang otaknya bergerak perlahan.
“Sekarang Aish cuma boleh tunjuk reaksi sedih atau gembira. Setiap dua jam saya akan beri susu dan ubat ikut masa, manakala ayahnya yang mandikan dan dukung setiap hari,” katanya dalam nada sebak.
@doubleaish2223
Menurut laporan Sinar Harian, Muhammad Aish Irfan merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan kini menjalani rawatan intensif bersama lima pakar termasuk neurologi, pediatrik, kulit dan penyakit berjangkit. Selain itu, dia turut menjalani empat jenis terapi iaitu fisioterapi, terapi bahasa, terapi cara kerja dan rehabilitasi.
Kos rawatan dan terapi dilaporkan tinggi, terutama bagi sesi fisioterapi di luar hospital yang mencecah RM150 untuk 20 minit setiap sesi. Walaupun keluarga itu menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kategori OKU terlantar, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan kos rawatan dan pemulihan.
Shafiqa berharap anaknya kembali pulih seperti sedia kala dan dapat menikmati semula nikmat berjalan, bercakap serta ketawa seperti sebelum sakit. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya melalui akaun TikTok @doubleaish2223.
Kredit: Sinar Harian, TikTok doubleaish2223