Baru-baru ini sebuah trak pikap 4×4 dilaporkan telah merempuh empat beranak yang menaiki motosikal di susur keluar (Exit 904) Lebuhraya Sungai Besi pada Selasa lalu.

Empat Beranak Dirempuh Ketika Dalam Perjalanan Pulang Ke Rumah

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Mstar, wanita yang dikenali sebagai Shiera meluahkan rasa syukur apabila mereka empat beranak tidak mengalami sebarang kecederaan parah akibat rempuhan kenderaan terbabit. Beliau turut berkongsikan insiden yang berlaku di mana ketika kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari, mereka berempat dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menikmati makan tengah hari bersama.

“Selepas habis waktu persekolahan, kami menjemput kedua-dua anak kami iaitu Nurul Hana Sumayyah Muhammad Amali, 6, dan Nurul Naura Nuha Muhammad Amali, 5, dari tadika. Mereka request nak makan di sebuah restoran. Dah beberapa hari sebut nak makan di situ. Kebetulan semalam (Selasa) suami, Muhammad Amali yang bekerja di sebuah kilang, ada masa terluang jadi kami tunaikan hasrat anak.

“Selesai makan, kami menghala pulang ke rumah di Cheras. Ketika tiba di lokasi, trak tersebut nak masuk laluan ke kiri lalu merempuh kami. Sebaik terjatuh, terus saya dan suami angkat anak-anak. Tak fikir benda lain dah selain selamatkan anak-anak dulu,” cerita Shiera kepada media.

Empat Beranak Mengalami Kecederaan

Tambah Shiera lagi, selepas mereka terjatuh tersembam ke jalan akibat dirempuh, mereka terus dikejarkan ke Hospital Serdang oleh pemandu kenderaan yang kebetulan berada di belakang motosikal mereka.

“Akibat kemalangan itu, suami patah dua jari kaki di sebelah kanan, anak kedua iaitu Hana patah tulang pipi dan hidung, manakala anak bongsu iaitu Naura luka di muka dan menerima dua jahitan di dahi. Saya hanya mengalami luka-luka kecil. Alhamdulilah, selepas menerima rawatan, kami dibenarkan pulang pada hari sama. Anak-anak ada trauma sikit.. doktor nasihatkan untuk pantau keadaan mereka jika muntah dan sebagainya,” jelas Shiera.

Shiera Mohon Netizen Henti Kecam Pemandu Trak Pikap Terbabit

Sementara itu, Shiera turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang tuduhan atau mengecam pemandu trak pikap terbabit kerana tidak mahu memanjangkan cerita. Malah, pemandu trak pikap itu turut berada bersama-sama dengan mereka sepanjang mereka berempat mendapatkan rawatan di hospital.

“Selepas kami jatuh motor, dia tak lari tapi berhentikan kenderaan jauh sikit sebab lokasi tu selekoh. Dia berulang kali minta maaf, mengaku salah sebab tak perasan kami. Dia pun tolong angkat barang dan ikut sekali ke hospital hinggalah selesai. Pemuda itu sangat bertanggungjawab, malah dia keberatan untuk beredar daripada hospital biarkan kami minta dia buat laporan polis bimbang keselamatan dirinya.

“Syarikat tempatnya bekerja juga bertemu kami bertanya khabar dan beri jaminan untuk bertanggungjawab membayar kos baiki motosikal serta perubatan. Kami tak salahkan dia.. benda pun dah berlaku. Kami hanya serahkan kepada pihak polis. Kami juga ada buat silap dalam hal ini namun tak jangka benda ni terjadi. Mana ada ibu bapa yang mahu benda seperti ini menimpa anak-anaknya. Apa pun, semoga kita lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya”, katanya.

Terbaru, semalam Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memerintahkan pemandu trak pikap yang bernama Mohammad Harith Ismail, 22, untuk membayar denda sebanyak RM6,000 kerana melanggar motosikal yang ditunggang empat beranak. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Kredit: Mstar

[fbcomments]