fbpx

Anak lelaki kepada Rodolfo Sancho Aguirre, iaitu pelakon popular Sepanyol ditahan dan diberkas polis di Thailand atas kes pembunuhan seorang pakar bedah warga Colombia. Kejadian tersebut dipercayai berlaku kelmarin di pulau pelancongan Koh Phangan dan mayat telah dikerat-kerat oleh suspek.

Buang Beg Plastik Mengandungi Sebahagian Anggota Badan Untuk Hapus Bukti

Menurut sumber yang dipetik dari BuletinTV3, polis bersama suspek iaitu Daniel Sancho Bronchal bergerak ke tujuh lokasi termasuk sebuah pantai bersama suspek yang dituduh membuang beberapa beg plastik mengandungi sebahagian anggota badan mangsa, dipercayai milik individu lelaki.

Polis kemudiannya berjaya mengenal pasti mangsa yang dikenali sebagai Edwin Arrieta Arteaga, 44 tahun. Menurut Mejar Jeneral Saranyu Chamnanrat iaitu pegawai polis Thailand, suspek dihadapkan ke mahkamah, dengan polis memperoleh kebenaran untuk melanjutkan tempoh penahanannya bagi membantu siasatan.

Saranyu melaporkan suspek menghadapi pertuduhan melakukan pembunuhan terancang dan mengerat serta menyembunyikan anggota badan mangsa untuk mengaburi perlakuan jenayahnya.

Anggota Badan Dikerat Dijumpai Di Tapak Pelupusan Sampah

Berdasarkan sumber BuletinTV3 lagi, Sancho ditahan selepas sebahagian keratan anggota badan mangsa dijumpai di sebuah tapak pelupusan sampah di Koh Phangan yang terkenal sebagai destinasi tumpuan pelancong untuk berbulan madu.

Hasil ujian DNA, ia didapati bahawa keratan badan yang dikerat suspek adalah milik Arrieta.

Terdapat beberapa bukti yang terkumpul oleh pihak polis. Antara salah satunya adalah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan ThaiPBS menunjukkan Sancho dan Arrieta menunggang sebuah motosikal bersama-sama beberapa hari sebelum keratan anggota badan terbabit ditemui.

Polis Thailand memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan sementara pihak berkuasa meneruskan pencarian baki anggota badan mangsa.

Kredit: BuletinTV3

[fbcomments]