Seorang wanita berusia 42 tahun, Faizah Soraya, maut selepas dipercayai ditikam oleh anak perempuannya yang baru berusia 12 tahun di kediaman mereka di Kecamatan Medan Sunggal, Indonesia, pada 10 Disember lalu.

Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kira-kira 20 kesan tikaman di tubuhnya.

Ibu Maut Ditikam Anak Sendiri Berumur 12 Tahun

Menurut laporan polis, kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi ketika suami mangsa, AH, sedang tidur di tingkat dua rumah mereka. AH terkejut selepas mendengar jeritan meminta tolong daripada anak sulungnya, lalu bergegas ke bilik tidur di tingkat bawah dan mendapati isterinya sudah terbaring kaku, manakala anak perempuannya, SAS, memegang sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian walaupun pasukan perubatan tiba tidak lama kemudian.

Jiran terkejut dengan insiden itu kerana keluarga tersebut sebelum ini dikenali mesra dan harmoni. Motif sebenar masih disiasat, namun beberapa saksi mendakwa terdapat pertengkaran mulut antara ahli keluarga sebelum tragedi berlaku.

“Mereka sangat akrab. Tiada jarak antara ibu dan anak. Setiap pagi ibunya akan menghantar anak keluar dan memanggilkan Grab sebelum ke sekolah. Kami tidak menyangka dia sanggup berbuat demikian. Dia anak yang paling ramah dalam keluarga itu dan sangat berprestasi di sekolah.

“Mungkin kerana ibunya agak cerewet, jadi mungkin dia sakit hati. Padahal dia sudah mahu tamat sekolah rendah,” cerita mereka.

Suspek kini ditahan polis dan pisau yang digunakan telah dirampas sebagai bukti. Jenazah Faizah telah dikebumikan selepas proses bedah siasat dijalankan di Hospital Bhayangkara Kota Medan.

Kredit: portal Liputan6

 

 

[fbcomments]